Noh dilantik anggota kabinet untuk rampas Selangor: PM
SHAH ALAM - Pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai anggota kabinet bagi membantu merampas kembali negeri berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau pada mulanya ingin melantik Noh memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen).
Bagaimanapun, katanya, Noh meminta beliau dilantik ke jawatan yang lebih dekat di hati rakyat.
"Ketika saya mula menjadi Perdana Menteri, Noh tiada jawatan ketika itu dan saya fikir jika kita beri jawatan kepada pemimpin Selangor, ada harapan untuk kita rampas balik Selangor.
"Saya ingat 'offer' dia Menteri Undang-undang supaya dia 'berperang' lebih sikit dalam Parlimen, namun dia minta diberi jawatan yang boleh jaga rakyat.
"Jadi, saya beri dia Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City yang turut dihadiri Noh di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, apabila UMNO mengambil alih kerajaan, banyak perkara dapat dilakukan parti untuk membantu rakyat dan UMNO juga mengetahui apa bantuan yang telah diberikan.
"Banyak perkara yang mustahil boleh kita lakukan semasa bukan dalam kerajaan dan kini menjadi kerajaan sudah pasti lebih lagi yang boleh kita bantu.
Sebab itu, katanya, penting untuk ahli parti menyokong kerajaan pada hari ini namun, apa yang dikesalkan apabila terdapat juga orang sendiri yang tidak menyokong kerajaan.
"Yang balun kuat-kuat ini orang kita, yang duduk buat video hari-hari (kerap) ini orang kita. Sekarang ini kita hendak bercakap soal Pilihan Raya Umum (PRU) dan saya datang hari ini kerana UMNO Selangor menyediakan strategi untuk memerintah Selangor.
"Saya doakan (dengan) semangat yang ada pada hari ini boleh kita robohkan kerajaan Selangor seperti mana mereka mahu robohkan Stadium Shah Alam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!