Johor hadiah insentif tunai kepada Aniq, Shah Firdaus
INSENTIF wang tunai akan diberikan kepada dua atlet kelahiran negeri ini yang meraih pingat pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan akan menerima RM10,000 manakala atlet berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bakal menerima RM6,000.
"Sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan Mohamad Aniq Kasdan yang meraih pingat emas dan Muhammad Shah Firdaus meraih gangsa dalam Sukan Komanwel, kerajaan Johor akan menghadiahkan insentif wang tunai berkenaan.
"Kejayaan dua atlet berkenaan memberi inspirasi sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Mohamad Aniq, 20, menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas dalam kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.
Atlet berasal dari Segamat, Johor itu melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg.
Ia adalah pingat pertama yang dimenangi kontinjen negara pada temasya empat tahun sekali ini yang membuka tirainya secara rasmi pada 28 Julai lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Shah Firdaus yang meraih gangsa dilaporkan mengakhiri penantian selama lapan tahun pelumba berbasikal trek negara untuk memenangi pingat acara keirin pada temasya Sukan Komanwel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!