10 pulau di Tumpat perlukan 20,000 guni pasir
TUMPAT - Hampir 20,000 guni pasir diperlukan untuk pembinaan benteng penahan arus banjir di 650 rumah penduduk di 10 pulau di gugusan kepulauan di sini.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, usaha pembinaan benteng dengan menggunakan guni mengandungi pasir itu disarankan di peringkat komuniti sebagai persediaan bagi menghadapi kitaran Monson Timur Laut.
Katanya, Nadma sentiasa mengalu-alukan usaha yang dilakukan pada peringkat akar umbi dalam membantu kerajaan menguruskan sebarang bencana yang berlaku di dalam negara.
“Sebagai contoh di Tumpat, setiap rumah memerlukan 20 hingga 30 guni pasir bagi menahan impak arus yang boleh menyebabkan kemusnahan rumah dan benteng guni pasir itu disaran dibina sendiri oleh penduduk di bahagian luar rumah masing-masing.
“Bagi 10 pulau yang terjejas banjir di kepulauan di Tumpat memerlukan keseluruhan 20,000 guni pasir yang akan disusun di sekitar rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di Program Yayasan Petronas Sentuhan Kasih: Disaster Relief - Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) di Teluk Renjuna di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Yusri Anuar Ahmad dan Pengarah Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.
Beliau berkata, kesiapsiagaan menjadi topik utama yang perlu diberi perhatian bertujuan mengurangkan impak jika terjadi sesuatu bencana.
“Menjadi dasar kerajaan untuk memperkasakan komuniti dalam pengurusan bencana dan Nadma menghargai langkah yang diambil oleh sektor-sektor korporat seperti Petronas untuk memperkasakan komuniti bagi membolehkan mereka lebih bersedia dari segi pengurusan bencana.
“Dari segi tanggungjawab pengurusan bencana akan melibatkan seluruh peringkat masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Yusri berkata, CBDRM adalah program perintis berimpak tinggi melibatkan 100 komuniti di kepulauan di sini dan 100 komuniti di Mukim Ganchong, Pekan Pahang.
“Melalui program tiga siri itu mereka didedahkan dengan lima modul latihan daripada Jepun termasuklah peranan sekretariat pengurusan bencana merangkumi aspek mengenal pasti dan menilai risiko bencana, menyediakan plan evakuasi bencana dan mengenal pasti sistem amaran awal risiko banjir.
“Pada program itu juga, 30 peserta terpilih dan dijadikan sebagai Jaguh Setempat yang dilatih secara lebih mendalam berkaitan aspek pengurusan risiko bencana,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!