Panel kajian teknikal dianggotai Cheng Hoe, Kim Swee?

Hamidin (dua,kiri) melihat kelangkapan fasiliti sukan di Akademi Mokhtar Dahari hari ini.
Hamidin (dua,kiri) melihat kelangkapan fasiliti sukan di Akademi Mokhtar Dahari hari ini.
A
A
A

JURULATIH skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersama jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bakal menganggotai panel kajian teknikal dalam proses pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, panel kajian itu juga akan dianggotai Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo dan jurulatih Selangor, B Satiananthan yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Menurutnya, panel kajian teknikal itu akan mengkaji bagi mewujudkan mekanisme terbaik dalam pemilihan pemain yang bakal bermain untuk pasukan Malaysia termasuk mengambil kira faktor umur dan persembahan mereka.

"Kita perlu ingat pelan untuk mengambil pemain naturalisasi ini merupakan satu perancangan yang kita tahu banyak peraturan dan proses yang perlu kita patuh.

"Seperti macam mana proses dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), FAM ada kumpulan yang akan mengkajinya dan kita akan ikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, hari ini.

Hamidin melihat kelangkapan fasiliti sukan di Akademi Mokhtar Dahari hari ini
Hamidin melihat kelangkapan fasiliti sukan di Akademi Mokhtar Dahari hari ini

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin dan Ketua Jurulatih Skuad negara Bawah 22 tahun, Datuk Ong Kim Swee.

Dalam pada itu, Hamidin tidak merasakan pemain naturalisasi boleh menjejaskan peluang pemain tempatan menyertai skuad kebangsaan kerana proses kemasukannya dilakukan secara teliti dan mengikut prosedur ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya mempunyai kumpulan kajian teknikal yang akan mengkaji dan memastikan pengambilan pemain asing benar-benar memberi kesan positif kepada negara bukan sahaja untuk jangka masa pendek, tetapi juga jangka masa sederhana dan panjang

"Kita perlu ingat prosedur standard naturalisasi yang kita cadangkan di Pulau Pinang dahulu di mana ia membabitkan semua pihak terlibat, sama ada kita ambil seorang atau dua tiga orang pemain naturalisasi itu bergantung kepada kumpulan kajian teknikal kita.

"Kita mengikut peraturan... sekiranya kita mengambil lima pemain naturalisasi adakah ia akan menjejaskan pemain tempatan? Rasanya tidak.

“Kita juga perlu bincang dengan MFL mana pemain ini (pemain naturalisasi) akan diletakkan dalam liga jika kita ambil mereka dan saya rasa tanpa kelulusan daripada KDN ia juga tidak akan berjaya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!