Liek Hou bersedia buru dua pingat di Solo
JAGUH badminton para negara Cheah Liek Hou sudah bersedia memulakan misi memburu dua pingat di temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di sini pada Isnin.
Beraksi dalam acara perseorangan dan beregu lelaki SU5, pemain berusia 34 tahun itu lebih yakin untuk mempertahankan gelaran juara perseorangannya di Auditorium Universiti Muhammadiyah Surakarta, tetapi bagi acara beregu beliau mengakui gandingan bersama Muhammad Fareeez Anuar masih kurang serasi.
"Semua persiapan berjalan lancar setakat ini, tetapi kami perlu meningkatkan keserasian bagi acara beregu. Angin di venue pula sangat kuat ketika sesi latihan, saya harap ia akan dapat diatasi ketika pertandingan nanti,” katanya.
Diundi dalam Kumpulan A bagi acara perseorangan lelaki SU5, juara bertahan itu akan berdepan Chok-Uthaikul Watcharaphon dari Thailand esok, sebelum melengkapkan format round robin menentang pemain tuan rumah Arya Sadewa.
Dalam acara beregu, Liek Hou-Muhammad Fareez akan berdepan pasangan Vietnam, Bui Minh Hai-Pham Van Toi esok, diikuti ujian getir menentang pilihan kedua Chok-Somsiri Pricha dalam Kumpulan B.
"Kami perlu menang ke atas pilihan kedua untuk laluan lebih mudah di separuh kerana kami dapat mengelak daripada bertembung beregu pilihan Dheva Anrimusthi-Hafizh Briliansyah Prawiranegara,” kata Liek Hou yang menang pingat gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Pemenang 11 pingat emas dalam Kejohanan Dunia itu juga akan bertanding tanpa kehadiran jurulatih Datuk Rashid Sidek.
Rashid, yang membantu Liek Hou selama lebih dua tahun dalam mencipta kegemilangan di Paralimpik Tokyo 2020, ketika ini melatih kontinjen Malaysia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand dan dikatakan akan fokus kepada pembangunan akar umbi.
"Bagi APG ini saya berlatih di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Samidiono Slamet. Sebaik pulang ke tanah air nanti, saya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai siapa yang akan menjadi jurulatih saya,” katanya.
Sementara itu, Samidiono berkata, skuad badminton para negara menyasarkan dua pingat emas di Solo melalui Liek Hou dan Muhammad Ikhwan Ramli dalam kategori lelaki WH1 (kerusi roda).
"Kami harap pemain lain juga dapat menyumbang pingat buat negara tanpa mengira warna pingat. Malaysia akan diwakili empat pemain bagi kategori berdiri dan dua bagi kategori kerusi roda.
"Saya berharap semua pemain berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan selamat sehingga tamat kejohanan, dan mampu menampilkan prestasi terbaik mereka," kata jurulatih yang berasal dari Solo itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!