Silat: Jufferi lengkapkan gelaran keempat juara dunia

 Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi (kanan) meraikan kemenangannya selepas melengkapkan koleksi kejuaraan dunia keempatnya apabila merangkul pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 pada Ahad. - Foto Bernama
Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi (kanan) meraikan kemenangannya selepas melengkapkan koleksi kejuaraan dunia keempatnya apabila merangkul pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari melengkapkan koleksi kejuaraan dunia keempatnya apabila merangkul pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 malam ini.

Misi memburu emas keempat dalam kejuaraan dunia selepas kali terakhir merangkulnya pada 2016 di Bali, Indonesia termakbul apabila berjaya 'membenam' cabaran Iqbal Chandra Pratama.

Mengharungi perlawanan Kelas F Putera yang penuh aksi asakan dan jatuhan tubuh lawan, Mohd Al Jufferi akhirnya berjaya mengutip mata kemenangan 35-21 ke atas pesilat dari Indonesia itu.

Aksi akhir yang turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu nyata membakar semangat jaguh seni bela diri negara itu.

Malah sorakan lebih 1,200 penyokong sepanjang perlawanan yang berlangsung di Arena 1 Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) membakar semangat juara empat kali Sukan SEA berkenaan untuk bangkit ketika ketinggalan mata.

Kejayaan diraih pesilat kelahiran Pahang itu melengkapkan sasaran tujuh pingat emas keseluruhan yang disasarkan dalam kategori Artistik dan Tanding.

Dalam pada itu, impian ratu silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir menambah koleksi gelaran dunia lebur di tangan wakil Vietnam, Quang Thi Thu Nghia.

Umpama mengulangi episod hitam pada Sukan SEA di Hanoi, Mei lepas yang tumpas pada pesaing sama, pesilat dari Terengganu itu sekali lagi berdepan kekecewaan apabila tewas 35-60 dalam Kelas F Puteri.

Lebih memeritkan, perlawanan tersebut diiringi rasa tidak puas hati dalam kalangan kontinjen Malaysia apabila juri dikatakan gagal membuat permarkahan dengan adil, termasuk seringkali catatan markah di papan elektronik tidak bergerak walaupun pukulan dan jatuhan yang dilakukan pesilat berusia 35 tahun itu tepat pada sasaran.

Menutup saingan malam ini, turut diumumkan Indonesia akan menjadi tuan rumah Kejuaraan Pencak Silat Dunia bagi edisi akan datang pada 2024. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!