Harimau Kumbang tumbang dilibas The Crocs
SKUAD Penang FC gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tumpas 2-3 kepada Sarawak United pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Kekalahan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Kumbang itu terus terperosok pada kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya meraih tujuh mata hasil satu kemenangan, empat seri dan tewas sembilan kali daripada 14 perlawanan setakat ini.
Penang FC bermula baik dengan mengatur ke gawang pelawat bagi membuka jaringan, namun pelawat lebih dahulu mengejutkan rumah apabila membuka jaringan seawal minit ke-5 menerusi Nor Azizi Ramlee.
Tersentak dengan gol pembukaan berkenaan, kesebelasan skuad Haria Penang Haria itu dilihat bingkas bangkit bagi menyamakan kedudukan dan hasilnya pemain import, Lucas Espindola menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17.
Bagaimanapun, pemain import The Crocs, Uche Agba kemudiannya menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-28.
Dua minit berselang, skuad Haria Penang Haria itu sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi Espindola pada minit ke-30.
Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat semakin hebat mengasak namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat semakin menggandakan asakan, namun tuah nyata memihak kepada Sarawak United apabila pemain import, Gonzalo Soto memanfaatkan peluang terbuka di depan pintu gol untuk menolak masuk gol ketiga yang juga merupakan gol kemenangan pada minit ke-84.
Biarpun dilihat cuba bangkit untuk sekurangnya-kurangnya menamatkan perlawanan dengan keputusan seri, namun kesebelasan Penang FC dilihat buntu bagi menjaringkan gol sehingga tamat perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!