Ping pong: Nigeria sekat Malaysia ke separuh akhir

Aksi Javen ketika menentang lawannya dari Nigeria, Aruna Quari dalam acara Ping Pong Berkumpulan Lelaki peringkat suku akhir sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada Ahad. - Foto Bernama
Aksi Javen ketika menentang lawannya dari Nigeria, Aruna Quari dalam acara Ping Pong Berkumpulan Lelaki peringkat suku akhir sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KEGHAIRAHAN pemain ping pong perseorangan negara, Choong Javen untuk mematikan lawan pada perlawanan terakhir membawa padah apabila Malaysia tewas 3-2 kepada Nigeria dalam suku akhir acara berpasukan lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Ahad.

Javen gagal mengekalkan momentum selepas menang set pertama 11-7 sebelum Quadri Aruna bangkit untuk mencipta kemenangan 8-11, 5-11, 9-11 di Pusat Pameran Kebangsaan di sini, sekali gus mengesahkan Nigeria slot separuh akhir.

"Memang, kami sudah mencapai sasaran layak ke suku akhir tetapi selepas menang set pertama, saya tidak dapat mengekalkan momentum sehingga membolehkan lawan bangkit semula,” katanya selepas tamat perlawanan tersebut.

Oleh itu, pemain berusia 21 tahun itu berharap dapat menebus kesilapan yang dilakukannya dalam acara perseorangan dan beregu selepas ini.

Sebelum itu, Javen dan pasangannya, Wong Qi Shen membuka kempen Malaysia dengan langkah kanan dengan menyumbang mata pertama apabila bangkit selepas ketinggalan set pertama 6-11 sebelum mengalahkan Amadi Omeh-Bode Abiodun, 12-10, 12-10, 11-7.

Bagaimanapun, Nigeria menyamakan kedudukan menerusi Aruna apabila menewaskan Leong Chee Feng, 11-9, 6-11, 11-5, 11-5.

Malaysia kemudian mendahului saingan apabila Qi Shen mengalahkan Abiodun, 12-10, 14-12, 11-5 tetapi Olajide Omotayo memberi talian hayat kepada Nigeria dengan mengecewakan Chee Feng, 11-8, 9-11, 11-7, 11-6.

Dalam pada itu, skuad wanita negara akan berdepan Wales dalam saingan separuh akhir acara berpasukan lewat hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!