Tze Yong harap rambut baharu bawa tuah

Tze Yong - Foto Bernama
Tze Yong - Foto Bernama
A
A
A

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

Jika sebelum ini tampil dengan imej rambut ‘cendawan’, kini pemain perseorangan utama negara, Ng Tze Yong muncul dengan gaya rambut baharu bersempena Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pemain nombor 44 dunia itu berharap perubahan imej rambut ‘bersikat tepi’ yang digayakannya ketika ini mampu membawa tuah kepadanya untuk melakar kejayaan membanggakan dalam penampilan pertamanya pada temasya sukan empat tahun sekali itu, di sini.

"Rambut cendawan itu sudah lama, jadi saya mahu mencuba nasib untuk Sukan Komanwel kali ini,” katanya pada Ahad.

Sebelum itu, Tze Yong membantu Malaysia mara ke separuh akhir menentang England, selepas menewaskan Sri Lanka, 3-0 pada aksi suku akhir di Dewan 5 Pusat Pameran Nasional di sini.

Pemain berusia 22 tahun itu menyumbang mata kedua buat negara selepas mengenepikan cabaran Niluka Karunate 21-5, 21-14.

Dalam pada itu, Tze Yong berkata, penampilannya dalam kejohanan besar termasuk Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok, Thailand, Mei lepas, benar-benar meningkatkan tahap keyakinannya untuk beraksi dengan cemerlang di sini.

"Saya fokus untuk berikan yang terbaik, saya harap apa yang saya pelajari dalam sesi latihan membantu saya di Birmingham,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!