Letak tokoh profesional sebagai calon BN, rampas semula Selangor

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan surat lantikan jawatan Bendahari BN Selangor oleh Noh (dua dari kiri) kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor 2022 di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan surat lantikan jawatan Bendahari BN Selangor oleh Noh (dua dari kiri) kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor 2022 di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor harus memberi peluang kepada muka baharu terutama golongan profesional yang berpotensi dalam usaha merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan 'warlord' BN sebagai orang politik harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu kemenangan gabungan itu.

"Orang-Orang lama bagilah peluang kepada orang-orang baharu, zaman kita jadi wakil rakyat merekalah yang bantu kita.

"Zaman kita telah lepas, kita pula yang harus bantu muka-muka baharu untuk mereka menang," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor di sini malam Ahad.

Beliau berkata, kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor tidak seharusnya dijadikan acuan bagi menghadapi PRU akan datang sebaliknya BN Selangor harus melakukan perubahan dengan mencari tokoh profesional dalam kalangan anak Selangor untuk dinamakan sebagai calon.

"Kita orang politik harus berjiwa besar kalau kita mahu kembalikan Selangor (kepada BN), cari orang-orang Selangor, lakukan pencarian bakat politik supaya mereka balik ke Selangor,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata, pelantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor adalah langkah permulaan untuk beliau ‘terjun’ ke bidang politik.

"Peluang itu adalah peluang yang terbaik kerana bukan sahaja beliau telah dikenali, tentu beliau mempunyai hasrat terlibat secara langsung dalam politik kerana beliau juga telah menjadi ahli UMNO Cawangan Jalan Travers (Bahagian Lembah Pantai),” katanya.

Tengku Zafrul pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada BN Pusat dan Selangor atas kepercayaan melantik beliau sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu.

Beliau berkata, sama ada tercalon atau tidak pada pilihan raya akan datang, keutamaan yang diberikan adalah untuk memastikan BN dapat menawan kembali Selangor.

"Kita satu pasukan di Selangor. Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan saya akan bekerjasama dengan semua pucuk kepimpinan BN di Selangor... untuk menawan kembali Selangor,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!