Cabaran Shah Firdaus berakhir seawal suku akhir

Muhammad Shah Firdaus tewas kepada pelumba Australia, Matthew Richardson pada saingan suku akhir acara pecut di Lee Valley VeloPark, London. - Foto Bernama
Muhammad Shah Firdaus tewas kepada pelumba Australia, Matthew Richardson pada saingan suku akhir acara pecut di Lee Valley VeloPark, London. - Foto Bernama
A
A
A

PERJUANGAN pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, untuk meraih pingat kedua selepas gangsa acara keirin lelaki pada Sabtu terhenti secara mengejut dalam acara pecut di temasya Sukan Komanwel Birminghan 2022 pada Ahad.

Walaupun berjaya memberikan cabaran sengit kepada pelumba Australia, Matthew Richardson, Shah Firdaus akhirnya tewas 1-2 pada saingan peringkat suku akhir di Lee Valley VeloPark, London.

Richardson bermula dengan cemerlang untuk memenangi perlumbaan pertama sebelum Shah Firdaus memberi cahaya harapan kepada kem Malaysia dengan melonjakkan kemenangan dalam perlumbaan kedua untuk menetapkan penentuan.

Bagaimanapun, Richardson kemudiannya meningkatkan kayuhan untuk melepasi garisan penamat di hadapan pelumba Malaysia itu untuk menempah tempat ke separuh akhir.

Shah Firdaus sebelum itu menewaskan Sam Dakin dari New Zealand 1-0 dalam pusingan final 1/8 dan juga yang ketujuh terpantas dalam pusingan kelayakan dengan catatan masa 9.846 saat (s).

Terdahulu, dua lagi waskil negara, Muhammad Ridwan Sahrom (10.226s) dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis (10.310s) tersingkir pada pusingan kelayakan selepas masing-masing menduduki tempat ke-20 dan ke-22.

Hanya 16 pelumba terbaik layak ke pusingan final 1/8.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah penamat kepada Muhammad Ridwan dan Muhammad Fadhil kerana mereka mempunyai peluang terakhir untuk membuktikan kemampuan mereka dalam acara ujian masa 1,000m pada Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!