Longgar syarat kemasukan pelajar pendidikan khas ke IPG: BPK
JOHOR BAHRU - Bahagian Pendidikan Khas (BPK) memberi cadangan agar ada kelonggaran pada syarat laluan khas kepada pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Guru (IPG) dilihat akan memberi lebih peluang melahirkan lebih ramai generasi pendidik pada masa akan datang.
Pengarahnya, Datuk Dr Yasmin Hussain berkata, laluan khas itu adalah merangkumi budi bicara kementerian untuk merendahkan sedikit syarat permohonan dan penetapan gred akademik yang diperlukan.
"Dalam kita punya kemasukan, laluan khas bagi anak-anak ini yang mohon untuk masuk IPG atau maktab perguruan memang kita tetapkan enam kredit dan Bahasa Inggeris itu lulus, cuma tahun ini ditetapkan Bahasa Inggeris itu perlu mendapat kepujian pula.
"Jadi tahun ini, barulah nak dimulakan kepujian Bahasa Inggeris itu kita mahu mohonlah ada laluan yang mana pemohon yang hanya lulus juga dibenarkan, tetapi tidak semestinya diterima," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kongres Autisme Johor, di Berjaya Waterfront, di sini, hari ini.
Yasmin berkata, apa sebenarnya yang mahu dilaksanakan kementerian adalah melahirkan pendidik yang mempunyai kompetensi terbaik dalam penggunaan Bahasa Inggeris.
"Jadi jika pemohon sudah memasuki IPG atau maktab perguruan dengan gred itu tetapi belum mencapai tahap kompetensi yang diperlukan, mereka mungkin boleh menduduki kertas ujian bahasa itu sehingga mereka dapat tingkatkan kemampuan mereka," katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, inisiatif berkenaan juga merupakan langkah terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar terutama bagi aliran terbabit.
Katanya, sehingga Januari lalu, hanya terdapat sejumlah 15,347 guru pendidikan khas sedang berkhidmat di lebih 8,500 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).
"Mengikut data, kita (kementerian) mengalami kekurangan seramai 1,643 lagi guru pendidikan khas sehingga 13 Mac lalu.
"Ia membabitkan kekurangan seramai 701 guru pendidikan khas di SK dan 942 lagi di SM, itu belum lagi kita lakukan perluasan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!