Jenazah Khalid Ibrahim dijangka dikebumi di Makam Diraja Shah Alam
SHAH ALAM - Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada jam 2 petang Isnin.
Pengendali Laman Facebook Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan, pengurusan jenazah seperti mandi dan kafan terlebih dahulu dilakukan di Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.
Menurut hantaran itu, jenazah kemudiannya disembahyangkan di masjid sama kira-kira dua jam selepas itu.
"Jenazah kemudian dijangka tiba di Masjid Negeri Shah Alam pada jam 11 pagi untuk penghormatan terakhir dan dijangka dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada jam 2 petang selepas solat Zohor dan solat jenazah di masjid terbabit," menurut hantaran tersebut.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Abdul Khalid yang berusia 76 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.08 malam, Ahad.
Allahyarham yang meninggalkan isteri, empat anak dan dua cucu sebelum ini dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Allahyarham pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!