TPM jamin siasat dakwaan penerima JKM dihentikan bantuan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, kiri) menziarahi pesakit buah pinggang dan masalah kaki, M. Mariayee, 69, (duduk, tengah) di rumahnya di Kampung Kuala Sawah ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, kiri) menziarahi pesakit buah pinggang dan masalah kaki, M. Mariayee, 69, (duduk, tengah) di rumahnya di Kampung Kuala Sawah ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi komitmen untuk menyiasat dakwaan beberapa penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rantau yang dipotong atau dihentikan bantuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, isu berkenaan akan dipanjangkan dan dirujuk kepada kementeriannya yang mengawal selia JKM.

"Saya nak kena tanya kementerian, apakah sebabnya, sebab dia (bantuan) ada kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi, saya akan tengoklah bagaimana," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menziarahi rumah beberapa keluarga di Taman Sri Ramai, Rantau, bersama calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr S Streram.

Semalam, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan, antara lain, mendakwa ada beberapa wanita warga emas ditemuinya hampir menangis kerana bantuan JKM dipotong atau dihentikan sejak empat hingga lima bulan lepas.

Ditanya mengenai bantuan kepada Bengkel Seri Sembilan yang menempatkan 45 penghuni OKU di Mambau, di sini yang memerlukan penyelesaian segera dari segi pembinaan pagar keselamatan dan penambahbaikan infrastruktur, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan merujuk perkara berkenaan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

"Saya akan tanya kementerian, selalunya kita ada list (senarai) dan apabila ada kita akan sampaikan namun mungkin ada terlepas pandang," katanya.

Isu berkenaan dibangkitkan pengurus bengkel berkenaan Harunarrsheed Mohd Ibrahim kepada media ketika lawatan Dr Streram pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Antara lain, Harunarrsheed dilapor berkata masalah itu yang memberi risiko keselamatan kepada penghuni telah berlarutan sejak 20 tahun lalu, namun gagal diberi perhatian sewajarnya.

Selain Mohamad, Dr Streram akan berhadapan dengan dua calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin pada PRK Rantau 13 April ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!