Hakim tiba di banglo didakwa berkait dana Yayasan Akalbudi

Hakim Sequerah (tiga dari kanan) meninjau sekitar banglo di Country Heights yang didakwa dibeli menggunakan dana YAB pada Isnin.
Hakim Sequerah (tiga dari kanan) meninjau sekitar banglo di Country Heights yang didakwa dibeli menggunakan dana YAB pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama pihak yang terbabit dalam prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di dua banglo di Country Heights, di sini yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB), pada Isnin.

Kenderaan membawa Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tiba di lokasi itu pada jam 10.40 pagi dengan diiringi beberapa kereta peronda polis (MPV).

Lawatan itu susulan keputusan hakim Sequerah yang bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ia itu turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffry Ong dan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik serta Hamidi Mohd Noh.

Lawatan itu bagi memberi gambaran yang lebih jelas, memandangkan pembelian banglo berkenaan termasuk dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Ahmad Zahid.

Dalam prosiding terdahulu, peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak rumah itu dengan Surau An-Nur.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!