Taman Alam Kuala Selangor tidak dinyah warta
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membuat ketetapan tidak akan menyahwarta Taman Alam Kuala Selangor meskipun cadangan memajukan kawasan itu sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa telah diluluskan pada 17 November tahun lalu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri berpendirian tidak sesekali menyahwarta mana-mana hutan simpan kekal di negeri ini termasuk di Taman Alam Kuala Selangor.
"Kita hanya memberi permit penggunaan untuk mereka menaik dan mendirikan hotel bertaraf bintang serta antarabangsa hanya di kawasan tertentu yang tidak ada kesan hadapan terhadap hutan simpan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli yang bertanya apakah jaminan kerajaan Selangor mengenai pembangunan di Taman Alam Kuala Selangor tidak menjejaskan khazanah bakau serta flora dan fauna persekitaran kawasan itu semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Loy Sian berkata, terdapat pihak tertentu terutama pembangkang di Selangor memberi gambaran tidak tepat mengenai usaha kerajaan negeri memajukan kawasan terbabit.
"Kita melihat di sebelah Selangor Utara terutama Kuala Selangor dan Sekinchan ini kekurangan hotel bertaraf bintang.
"Sebab itulah kita tidak dapat menarik pelancong luar negara untuk tinggal di Kuala Selangor sebaliknya mereka terpaksa tinggal di Petaling Jaya, Subang Jaya atau pun Kuala Lumpur," ujarnya.
Justeru, katanya, keadaan itu tidak memberi kesan ekonomi tambahan kepada kawasan setempat.
Jelas beliau, terdapat sebuah syarikat yang ingin melabur dan memberi cadangan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan berhampiran Taman Alam Kuala Selangor.
"Saya hendak beri contoh, (pembangunan pelancongan) bukan setakat di Taman Alam Kuala Selangor sahaja, sebaliknya berlaku di Taman Eko Rimba Komenwel, Hutan Simpan Kanching, Hutan Simpan Sungai Congkak yang turut dibina untuk permit kegunaan.
"Di luar Selangor pula misalnya di Hutan Simpang Cincang Langkawi yang juga dibenarkan untuk menaik taraf hotel lima bintang, Taman Negeri Rompin, Pahang, Bako Nasional Park Sarawak dan Hutan Lipur Sipiluk, Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!