AKM Sarawak tampilkan planetarium bergerak

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Planetarium bergerak bakal menjadi tarikan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kuching, pada 5 hingga 7 Ogos ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, rakyat Sarawak, khususnya pelajar, berpeluang mempelajari ilmu astronomi menerusi planetarium bergerak itu yang disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi buat pertama kali pada siri jelajah AKM.

"Sebelum ini tempat-tempat (negeri) lain belum dibawa. Jadi ini adalah peluang yang baik untuk pengunjung terutama pelajar untuk mempelajari keadaan angkasa lepas,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), pada Isnin.

Beliau berkata, AKM kali ini, yang dikendalikan kementeriannya, akan turut mengetengahkan kebudayaan dan keunikan cita rasa makanan negeri itu seperti laksa Sarawak, mi kolok dan kek lapis Sarawak, selain segmen bual bicara bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan pameran kerjaya.

"Secara keseluruhan, terdapat 28 reruai dan enam kaunter bergerak akan ditonjolkan sebagai melengkapi pengisian di tiga pentas utama dan khemah-khemah khas, yang antara lain memperkenalkan inovasi baharu dalam pembinaan jalan raya,” katanya.

Fadillah berkata, perkhidmatan bas akan disediakan kepada masyarakat di luar Kuching bagi membolehkan mereka turut serta dalam program tersebut.

Katanya, AKM Sarawak dianjurkan Kementerian Kerja Raya bersama Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!