[VIDEO] 9 individu didakwa tawar pinjaman tidak wujud
BATU PAHAT - Seramai sembilan individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin, atas tuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud pada Julai lalu.
Tertuduh, Muhamad Muslim Hamidi, 24; Muhammad Qamarul Jafree, 25; Wong Jong Sin, 23; Mohamad Shahrul Affendy Kamarulzaman, 24; Tan Jun Fatt, 18; Siti Nur Fadilah Abdul Rahman, 19; Huda Nadiela Hashim, 19; Muhammad Zulfaizzat Zakaria, 30, dan remaja terbabit mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Majistret Nurasidah A Rahman.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama sebagai satu pakatan dengan melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pinjaman tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sentosa Batu Pahat antara 1 hingga 17 Julai lalu.
Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Hooi Tsae Yun.
Sebelum itu, Tsae Yun berkata, kesemua anak guamnya mengaku bersalah dan insaf atas perbuatan mereka selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Susulan itu, beliau meminta mahkamah mengenakan denda minimum bagi menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM5,000 seorang terhadap lapan tertuduh dan jika gagal membayarnya, akan dipenjara selama enam bulan.
Manakala remaja terbabit dibenarkan jamin RM2,000 dan kesnya akan disebut semula 21 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!