Najib tidak lupa langkah berani Allahyarham Abdul Khalid
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan melupakan langkah berani yang diambil Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menangani isu air di Lembah Klang.
Menurut Najib, ketika menjadi Menteri Besar Selangor, Allahyarham telah menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula air Selangor dengan kerajaan pusat dan meluluskan loji penapisan air Langat 2.
Katanya, Abdul Khalid perlu diberi kredit sepenuhnya apabila Lembah Klang tidak lagi mengalami catuan air bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Menurutnya, ketika itu, blok Pakatan Rakyat membantah cadangan itu atas sebab politik bahawa projek-projek Langat 2 dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) tidak diperlukan.
"MoU air ini yang dijadikan alasan permulaan oleh Pakatan bagi langkah mereka singkirkan Allahyarham sebagai Menteri Besar Selangor dan untuk pecat beliau dari parti beberapa bulan kemudian.
"Namun, MoU air dan projek-projek tersebut tetap diteruskan dan dinanti-nantikan kerajaan Selangor selepas Allahyarham dipecat sebagai MB Selangor," menurutnya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Najib berkata, keputusan diambil Abdul Khalid itu tepat, membuktikan beliau menolak politik sempit demi kelangsungan hidup penduduk Lembah Klang.
"Jasa arwah akan terus dikenang oleh saya dan seluruh penduduk Lembah Klang. Langkah beraninya tidak saya lupa.
"Secara peribadi, saya amat sedih dengan pemergian Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya mohon semua untuk sedekahkan doa buat Allahyarham," katanya.
Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, jam 11.08 malam Ahad ketika menerima rawatan jangkitan pada injap jantung.
Allahyarham menjadi Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008.
Beliau menyandang jawatan itu selama enam tahun sehingga 22 September 2014 sebelum dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!