Projek empangan Nenggiri diakui beri kesan kepada Orang Asli

Takiyuddin - Foto Bernama
Takiyuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengakui pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan bakal memberi kesan kepada flora dan fauna serta penduduk Orang Asli di tiga perkampungan sekitarnya.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiga perkampungan itu adalah Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi yang mempunyai penduduk seramai 1,115 orang.

Sehubungan itu katanya, kesan atau impak ini perlu ditangani melalui pelbagai langkah kawalan dengan kerjasama rapat jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Menurutnya, pembinaan Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang berkapasiti 300 Megawatt (MW) akan diteruskan dan dibiayai serta dilaksanakan sepenuhnya oleh TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB).

"Pada masa ini, kerja-kerja pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik ini telah dimulakan sejak 1 Mac 2022 dan projek dijangka siap dan mula beroperasi pada 1 Jun 2027.

“Dengan keluasan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi, projek ini mampu membantu kerajaan negeri Kelantan mengurangkan kesan fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri ini selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika pembinaannya dan pelbagai lagi potensi kegiatan ekonomi apabila ia siap kelak.

“Selain itu, pihak TPGSB telah memulakan kerja-kerja awalan pembangunan projek ini dengan memperolehi semua kelulusan yang diperlukan, antaranya Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Warisan (HIA),” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang memintanya menyatakan adakah pihak KeTSA akan meneruskan projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan dan adakah pembinaan empangan itu akan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan sekitarnya.

Menurut Takiyuddin, bagi memaksimumkan manfaat projek ini dan menjaga kepentingan masyarakat perkampungan yang terlibat dan Orang Asli di kawasan berkenaan, sejak tahun 2014 lagi, TNB telah melaksanakan pelbagai program dan tanggungjawab sosial bersama komuniti berkenaan di sekitar tapak cadangan projek.

Katanya, lebih 30 sesi libat urus bersama masyarakat setempat telah dilaksanakan termasuk anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang disertai para pemimpin komuniti Orang Asli di tapak projek empangan iaitu dari Pos Tohoi, Pos Pulat, Kg. Kuala Wias dan kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

“Berdasarkan hasil Kajian Penerimaan Awam oleh Juruperunding yang dilantik, UKM Pakarunding Sdn Bhd pada tahun 2018, menunjukkan tahap penerimaan projek oleh penduduk di ketiga-tiga perkampungan meningkat kepada 80 peratus berbanding 69.5 peratus pada tahun 2015.

“Ini mencerminkan masyarakat terlibat telah memahami dengan jelas pembangunan yang akan berlaku di kawasan mereka dan manfaat yang akan diperolehi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!