GLC, GLIC tidak ganggu golongan sasar MAFI: Ronald

Ronald menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. -Foto Bernama
Ronald menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi berkaitan lain tidak akan mengganggu-gugat golongan sasar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Sebaliknya, beliau berkata, penglibatan kumpulan itu termasuk pihak swasta dalam mana-mana program kementerian adalah bertujuan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan MAFI dalam suasana ekonomi pasca Covid-19 dan landskap ekonomi global yang semakin kompetitif.

“Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0) adalah sebagai pelengkap dan mengukuhkan lagi rantaian bekalan makanan negara. Dengan rangka kerjasama strategik antara Kerajaan dan swasta, maka tidak timbul isu GLC, GLIC dan agensi lainnya akan mengganggu-gugat golongan sasar MAFI,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang memintanya menyatakan setelah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) lewat dalam menurunkan subsidi benih padi kepada petani, apakah rasional serta jaminan kementerian penglibatan GLC, GLIC dan agensi lainnya tidak akan mengganggu-gugat golongan penternak, pemborong, dan pengangkutan sedia ada.

Menyentuh mengenai kelewatan pengedaran benih padi sah semasa Musim 1/2021, Ronald mengakui berlaku sedikit kelewatan, namun memberi jaminan untuk segera menangani isu tersebut.

Justeru katanya, bagi menjaminkan tiada kelewatan dalam mendapatkan benih padi sah, MAFI telah melantik tiga belas pemborong benih padi sah dan dua belas syarikat pengeluar melalui pengeluaran lesen borong oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Ujarnya, lesen dan permit peruncit juga diberikan kepada agen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan Kerajaan dan bernaung di bawah pengeluar atau pemborong sedia ada untuk mengedarkan benih padi sah.

“MAFI juga telah memperkenalkan kaedah baharu dalam menambahbaik sistem pengedaran benih padi sah sedia ada di mana hanya 30 peratus dilaksanakan oleh PPK dan manakala baki 70 peratus dilaksanakan melalui pemborong lain yang dilantik di seluruh negara.

“Sejak sistem baharu ini dilaksanakan, rantaian pengedaran benih padi sah adalah lebih teratur dan sistematik sekaligus isu kelewatan juga dapat ditangani,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!