Maut langgar lampu isyarat merah
ALOR GAJAH - Tindakan seorang penunggang motosikal dipercayai melanggar lampu isyarat merah mengakibatkan dia maut dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Gangsa di sini, pada malam Ahad.
Kemalangan lebih kurang jam 10.45 malam, menyebabkan mangsa, lelaki berusia 33 tahun mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati ketika kejadian, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua penumpang dari arah Ayer Keroh menghala ke Krubong.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal RS150R dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum terlanggar mangsa.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.
"Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta termasuk bayi berusia sembilan bulan hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!