Kes ILI, URTI di Johor meningkat 2.7 kali ganda

Orang ramai turut diminta mendapatkan suntikan vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan. (Gambar kecil: Tian Soon)
Orang ramai turut diminta mendapatkan suntikan vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan. (Gambar kecil: Tian Soon)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes kumulatif bagi penyakit tangan, kaki dan Mulut (HFMD) serta wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) di negeri ini meningkat.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon berkata,sebanyak 1,531 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-30/2022 iaitu peningkatan sebanyak 2.7 kali ganda berbanding 574 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, bilangan kluster wabak salur pernafasan yang dilaporkan turut menunjukkan peningkatan dengan 18 kluster dilaporkan sehingga ME 30/2022 berbanding lapan kluster pada tempoh masa tahun lalu.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan melibatkan institusi pendidikan (77.8 peratus). Berdasarkan survelan ILI dijalankan di Klinik Kesihatan negeri Johor, terdapat sedikit peningkatan bagi kes yang dilaporkan pada ME30/2022 berbanding pada ME29/2022," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Justeru, beliau berkata, Jabatan Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya dengan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.

"Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung.

"Orang awam turut dinasihatkan menjarakkan diri daripada individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak satu meter," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta mengelakkan diri mengunjungi tempat tumpuan jika bergejala selain mendapatkan suntikan vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI dan URTI di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!