Hidayah serap tekanan pentas AUG

Nurul Hidayah Abdul Karim
Nurul Hidayah Abdul Karim
A
A
A

ATLET taekwondo wanita negara, Nurul Hidayah Abdul Karim mengakui berasa sedikit tertekan pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Hidayah, 24, berkata ia berikutan namanya antara yang diberikan tumpuan untuk menghadirkan pingat buat kontinjen negara.

Beliau yang meraih pingat perak berpasangan campuran dan gangsa berpasukan wanita pada Kejohanan Poomsae Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan pada April lepas sebaliknya tidak mahu keadaan itu menghantuinya dalam memberikan persembahan terbaik apabila beraksi bagi acara poomsae individu berlangsung di Hotel Konvensyen Nevada esok.

"Sedikit tertekan kerana ini kali pertama saya sertai AUG. Saya ambil ini dari sudut positif dan semangat untuk saya berlatih lebih gigih.

"Walaupun kami sentiasa berikan yang terbaik tetapi agak sukar untuk jangka pada pertandingan nanti. Negara lain juga berlatih dan semua orang akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan pingat," katanya.

Atlet dari Bintulu, Sarawak itu dalam masa sama bertekad menghadiahkan pingat buat negara selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan retak tulang dialami ketika menjalani latihan awal bulan lepas.

Selain Hidayah, kem taekwondo negara untuk acara poomsae individu esok turut menampilkan pemenang pingat perak Sukan SEA Vietnam 2021, Jason Loo Jun Wei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!