K-KOMM buka pencalonan untuk Anugerah Seri Angkasa 2022

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) bergambar bersama piala Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2022 selepas sidang media di Wisma radio Angkasapuri, pada Isnin. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) bergambar bersama piala Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2022 selepas sidang media di Wisma radio Angkasapuri, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menganjurkan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 bagi merancakkan semula landskap industri kreatif yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada awal 2020 akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, keputusan untuk menganjurkan ASA 2022 dipersetujui Jemaah Menteri pada Jumaat lepas dan penganjuran itu merupakan kerjasama strategik antara K-KOMM bersama sektor swasta.

"Pencalonan ASA 2022 dibuka mulai 1 Ogos hingga 31 Ogos,” katanya dalam sidang media pencalonan ASA 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, pada Isnin.

Menurut Zahidi, penganjuran ASA 2022 bertemakan ‘Kemuncak Kecemerlangan’ adalah sempena sambutan Jubli Emas ASA yang mula dianjurkan pada 1972 dan kini memasuki edisi ke-34 dengan tarikh penganjuran majlis itu dijangka berlangsung pada Oktober ini.

Beliau berkata stesen penyiaran kerajaan dan swasta dijemput untuk mengemukakan pencalonan secara rasmi menerusi www.anugerahseriangkasa.gov.my dan syarat umum pencalonan ASA 2022 dan kriteria pencalonan bagi setiap kategori turut dimuatkan dalam laman web itu.

Zahidi berkata rancangan yang dicalonkan mestilah pertama kali disiarkan di saluran televisyen, stesen radio atau akaun YouTube rasmi masing-masing dalam tempoh antara 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Beliau berkata buat julung kalinya ASA 2022 memperkenalkan lima kategori media sosial iaitu drama pendek, sketsa pendek, video klip hiburan, pesanan khidmat masyarakat dan drama bersiri menerusi YouTube rasmi terbaik.

Katanya secara keseluruhannya sebanyak 72 kategori bakal dipertandingkan di ASA 2022 termasuk 43 kategori televisyen, 22 kategori radio, satu anugerah khas juri dan satu tokoh ASA.

Menurutnya K-KOMM melantik barisan juri profesional dalam kalangan ahli akademik daripada industri kreatif dan pemain industri yang berkelayakan bagi memastikan anugerah tersebut terus dipertandingkan pada masa akan datang.

Zahidi juga menjangkakan pencalonan yang diterima pada ASA 2022 adalah lebih tinggi berikutan kategori media sosial yang menjadi kategori baharu dalam anugerah itu.

Katanya penganjuran ASA 2022 diharap dapat menggalakkan pihak penyiar dan karyawan industri kreatif untuk menerbitkan rancangan radio dan televisyen yang lebih kreatif, berkesan dan berkualiti tinggi serta membuka peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk berkarya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!