Warga emas antara tujuh ditahan terbabit judi belangkas

Wang tunai dan peralatan yang dirampas polis dalam serbuan di Jalan Sungai Korok, Pekan Sungai Korok - Foto Polis Kubang Pasu
Wang tunai dan peralatan yang dirampas polis dalam serbuan di Jalan Sungai Korok, Pekan Sungai Korok - Foto Polis Kubang Pasu
A
A
A

JITRA - Lapan lelaki ditahan polis kerana terlibat dengan judi belangkas menggunakan aplikasi dalam talian di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Sungai Korok, Pekan Sungai Korok, dekat sini pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada jam 1.30 pagi.

Menurutnya, wang tunai berjumlah RM4,951 telah dirampas daripada lapan lelaki berusia 35 sehingga 70 tahun tersebut dan aktiviti judi belangkas dipercayai telah dijalankan sejak dua minggu lalu.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian termasuk telefon yang mengandungi aplikasi judi belangkas," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Rodzi, hasil siasatan awal mendapati seorang suspek yang dikenali dengan panggilan Sham bertindak sebagai penganjur perjudian tersebut manakala pemainnya pula adalah dalam kalangan rakan dan juga penduduk tempatan.

Menurutnya, wang taruhan judi belangkas itu pula bermula dari RM10 sehingga RM200.

"Dua daripada lapan lelaki yang ditahan ini masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan kes ini di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat bebas," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!