Ainul Mardhiah tenat, kini di PICU akibat jangkitan kuman
SHAH ALAM - Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, yang sebelum ini pernah menghidap ketumbuhan dalam mulut empat tahun lalu, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) akibat jangkitan kuman.
Ibunya, Nurul Erwani Zaidi berkata, Ainul Mardhiah mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital.
“Ainul mula dengan muntah-muntah dan cirit-birit dalam masa sehari. Hari kedua tengok Ainul dah tak bermaya sangat. Sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ni. Terus bawa ke bahagian kecemasan.
“Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul dah terlalu tenat sebab infection (jangkitan) dah ada dekat semua tempat,” kongsinya menerusi Instagram miliknya pada Isnin.
Kongsi Nurul Erwani lagi, keadaan Ainul Mardhiah juga agak kritikal dan tenat.
Justeru, dia mengharapkan doa orang ramai supaya anaknya kuat melawan penyakit yang dihadapinya ketika ini.
“Satu badan penuh dengan wayar. Saya tak minta banyak, mohon doakan anak kesayangan saya, Ainul Mardhiah ini jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ini,” katanya.
Dalam pada itu, bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak turut berkongsikan perkara sama di Facebooknya yang memberitahu Ainul Mardhiah kini dirawat di PICU dan memerlukan bantuan ventilator.
Dia juga meminta orang ramai supaya mendoakan agar urusan doktor dan jururawat yang sedang merawat anaknya itu dipermudahkan.
“Mohon doakan Ainul Mardhiah kami bangkit melawan serangan yang agak teruk kali ini. Ainul dirawat di PICU sekarang, perlukan bantuan ventilator.
“Doakan juga ALLAH SWT bimbing, berikan jalan dan mudahkan urusan doktor dan jururawat yang sedang merawat Ainul sekarang,” katanya.
Empat tahun lalu, penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan dia diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan ketumbuhan dalam mulut.
Tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulut Ainul Mardhiah berjaya dikeluarkan oleh sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway, di sebuah hospital di London pada Jun 2019.
Susulan pembedahan, Ainul Mardhiah membesar dengan sihat, malah perkembangannya sehingga kini masih mendapat perhatian warganet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!