Sawah jadi kebun kelapa sawit

Shafie sedang mengait buah sawit yang ditanamnya di dalam sawah yang sebelum ini mengalami kerugian.
Shafie sedang mengait buah sawit yang ditanamnya di dalam sawah yang sebelum ini mengalami kerugian.
A
A
A

PENDANG - Tindakan nekad seorang petani dari Kampung Sungai Mati di sini menjadikan sawahnya kepada kebun kelapa sawit akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjana pendapatan RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

Shafie Ahmad, 60, berkata, pada awalnya dia sudah berputus asa dan kecewa selepas tanaman padinya sering menghadapi pelbagai masalah terutamanya diserang penyakit dan saliran yang tidak terurus.

Katanya, masalah itu menyebabkan dia sering mengalami kerugian setiap kali tibanya musim menuai kerana mendapat pulangan yang tidak seberapa.

"Setelah berfikir sedalam-dalamnya, saya akhirnya nekad untuk menanam kelapa sawit di dalam sawah dan memulakan kerja meratakan tanah serta membina saliran," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurutnya, pada mulanya tindakan dia mendapat kecaman daripada pelbagai pihak kerana tidak pernah sawah digantikan dengan kelapa sawit kecuali getah.

"Bagaimanapun saya tidak mengendahkan kata-kata mereka dan nekad juga kerana tidak mahu lagi menanggung rugi setiap kali musim menuai padi," katanya.

Katanya, usaha itu nyata tidak sia-sia apabila selepas lapan tahun menanam kelapa sawit, dia mampu menjana ribuan ringgit setiap bulan hasil tanaman seluas 0.81 hektar itu.

"Sebelum ini semasa menanam padi, saya hanya mampu memperoleh hasil sekitar RM3,000 dalam tempoh empat bulan tetapi dengan kelapa sawit saya mampu mendapat RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

"Tanaman kelapa sawit pula sangat mudah dijaga berbanding padi yang mempunyai pelbagai masalah penyakit dan kadang kala berhadapan dengan banjir hingga terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Shafie menambah, tidak dinafikan pada awalnya dia turut bimbang jika bekas tanah sawahnya itu tidak sesuai untuk tanaman kepala sawit.

"Pernah pada tahun lalu semasa banjir seluruh tanaman kelapa sawit saya ditenggelami air selama 38 hari dan ini menyebabkan saya bimbang semua pokok itu akan musnah.

"Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana semua pokok kelapa sawit ini mampu bertahan lagi sehingga ke hari ini," katanya.

Menurut Shafie, selepas berlakunya banjir itu, Shafie telah memulihkan kembali kandungan tanah dengan menabur baja supaya semua tanamannya itu pulih kembali.

"Saya pun tidak percaya dengan hasil yang diperoleh kerana dengan tanah seluas itu mampu menghasilkan buah hingga lima tan. Kejayaan ini mendorong saya untuk mengusahakan satu hektar sawah lagi untuk dijadikan ladang kelapa sawit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!