Lelaki curi barang farmasi, jual untuk beli dadah

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mencuri barangan daripada sebuah farmasi sebelum menjualnya bagi tujuan mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah di Taman Selasih, Kulim, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya di taman sama pada pukul 6.35 pagi oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

"Pada 24 Februari lepas, semasa penyelia farmasi itu melihat rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV), dia mendapati suspek datang ke farmasi pada 22 Februari dan mencuri beberapa barangan yang disembunyikan di dalam topi keledar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"Ahad lepas suspek datang lagi ke farmasi berkenaan, namun penyelia farmasi memintanya supaya tidak datang ke farmasi lagi. Lelaki itu tidak berpuas dan mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah sebelum beredar," tambahnya.

Beliau berkata penyelia farmasi itu kemudiannya melaporkan kejadian berkenan kepada polis dan selepas ditahan suspek mengaku mencuri untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

"Antara yang dicuri ialah minyak cap kapak, beberapa pembalut luka dan barangan lain yang masih belum dikenalpasti. Suspek yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau termasuk dadah itu akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!