AUG 2022: Skuad takraw mahu ubati duka pasukan senior

Skuad takraw negara bergambar sebelum berlepas ke AUG 2022.
Skuad takraw negara bergambar sebelum berlepas ke AUG 2022.
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara mahu mengubat kekecewaan pasukan senior yang menampilkan aksi kurang memuaskan dalam Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand di Bangkok pada Ahad.

Ia selepas skuad sepak takraw senior negara ketika ini menampilkan aksi kurang memuaskan dalam Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand di Bangkok yang berakhir kelmarin.

Pada kejohanan itu, skuad sepak takraw negara hanya meraih emas dalam acara beregu dan terkandas dalam acara berpasukan di separuh akhir 0-2 kepada Thailand, selain tewas 18-21,10-21 juga kepada Thailand dalam acara regu.

Justeru, tekong muda negara, Zuhri Zain berkata, dia dan rakan-rakan bertekad untuk memulihkan nama Malaysia dalam dunia takraw dengan meraih emas dalam tiga acara yang dipertandingkan di Sukan Universiti ASEAN (AUG).

Acara sepak takraw akan membuka tirai hari ini dengan acara berpasukan. Selain itu, Malaysia akan menyertai dua acara lain itu antara regu dan juga beregu.

“Kita sasarkan emas dalam acara berpasukan, namun tidak mustahil kita dapat lakukan kejutan untuk dua emas lagi. Ikutkan persediaan, kami mampu lakukan yang terbaik.

“Persaingan di AUG ini sebenarnya kita tidak tahu lagi sehebat mana, apa yang pasti kami mampu dan yakin dapat buat yang terbaik untuk tebus maruah sepak takraw negara,” katanya.

Mengulas mengenai persaingan dalam pasukan ketika ini, Zuhri berkata, berlaku persaingan sihat antara dia dengan Faisal Fuad dan Najmi Syahfiq Anuar untuk posisi tekong.

“Segala-galanya terpulang perancangan jurulatih, kami sebagai pemain akan mematuhi segala keputusan yang akan dikeluarkan menjelang aksi pembukaan nanti,” kata Zuhri yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Untuk rekod, skuad sepak takraw AUG 2022 dibimbing oleh dua bekas pemain takraw negara iaitu Ahmad Sufi Mohamed Hashim dan Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!