'Saya mahu lihat Najib tanggung kesalahannya, dihukum penjara'

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui beliau memilih untuk 'melayan' hujah-hujah politik Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mendakwa ada isu pokok yang cuba disembunyikan Ahli Parlimen Pekan itu.

Ia sekali gus Rafizi menjelaskan mengapa beliau dianggap 'berminat' dengan Najib meskipun ada segelintir masyarakat yang berpendapat apa juga hujah Najib wajar diabaikan.

"Telatah Najib tidak lebih dari seorang yang perasan dan merasa takut pada masa yang sama. Saya tidak berminat dengan Najib.

"Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib.

"Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan Najib dalam PRU14 pada 2018. Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai rakyat yang akan menolak UMNO/BN akibat penyelewengan Najib yang terus membebankan parti itu.

"Minat sebenar saya ialah untuk memastikan Najib menanggung kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Rafizi, hakikatnya, Najib telah bersalah menyeleweng dana rakyat yang kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh tahun akan datang.

"Selain tanggungan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM50 bilion, projek-projek mega yang kosnya naik berkali ganda (seperti MRT, LRT3, ECRL dan sebagainya) membebankan rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang," jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi turut mendakwa, Najib telah menggunakan wang untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan diri agar dilihat seolah-olah dia tidak bersalah.

"Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib.

"Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah," katanya.

Justeru, beliau mahu keseluruhan pimpinan Pakatan Harapan di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang merosakkan pemikiran rakyat.

"Sementara kita membentangkan idea-idea untuk memperbaiki kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, kita juga wajib menunjukkan bahawa sebahagian besar dari masalah rakyat ini berpunca dari salah tadbir sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!