Cerminan kemenangan UMNO-BN dalam PRU15
KUALA LUMPUR - Dua keputusan penting politik membabitkan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Larangan Bertukar Parti dan kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membenarkan penangguhan pemilihan UMNO adalah dua penanda aras yang mengukuhkan perpaduan parti sekali gus menjadi potensi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rangkuman kekuatan fikiran dan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, ahli MKT dan barisan Jemaah Menteri akan meletakkan UMNO di kedudukan paling kukuh dan kuat.
"Palu genderang sebenar Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) sudah pun bermula. Segala kekuatan UMNO yang ada mestilah dihalakan ke akar tujuan yang sama.
"Apa sahaja keputusan baik yang mengukuh kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN mesti diambil sebagai azimat kekuatan.
"Seluruh kepimpinan UMNO; baik di Pusat, Negeri dan Bahagian; demikian juga pemimpin di ribuan cawangan dan akar umbi, wajar bersedia sebaiknya untuk PRU.
"Tidak wajar ada lagi sekelumit ruang untuk kita berbeza pandang. Yang ada hanyalah ruang - memperkasa parti; mencari jalan dan wadah kemenangan dalam PRU akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Reezal yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, keputusan signifikan dan penting yang berlaku di Dewan Rakyat tempoh hari memberikan indikasi cukup jelas bahawa kepimpinan kerajaan dan UMNO mutakhir ini tidak gentar untuk memulakan ruang perubahan dan transformasi politik.
Katannya, kejayaan ikhtiar Pindaan Perlembagaan yang wajar dilakukan bagi memastikan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dilaksanakan dengan cukup kemas dan tuntas.
"Sebaik sahaja RoS meluluskan pula permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti, ia seakan mengesahkan bahawa janji yang diberikan sewaktu menyokong usul di PAU Khas UMNO terlaksana tanpa sebarang keraguan.
"Perdana Menteri ternyata seorang yang tidak gemar memungkiri janji. Malah menidakkan sama sekali 'teori dan anggapan', beliau mempersiap landasan kukuh buat dirinya sendiri,"katanya.
Tambah Reezal, pukulan kilas politik (a genius political stroke) yang diterajui kepimpinan UMNO mutakhir ini juga penterjemahan kematangan politik luar biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!