Mahkamah tolak sapina Lokman Adam terhadap Raja Rozela

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan notis sapina oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam terhadap Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu berhubung permohonan Lokman selaku respondan untuk menyoal balas Raja Rozela dalam prosiding menghina mahkamah ketika perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bulan lalu.

Hakim berkata, mahkamah menolak notis berkenaan selepas mendapati Raja Rozela bertindak sebagai pegawai bagi membantu mahkamah.

“Oleh itu, tiada asas kepada dakwaan bahawa TPR telah mengelirukan atau dalam apa-apa cara berbohong kepada mahkamah,” katanya yang juga tidak mengenakan sebarang kos kepada pihak Lokman selaku respondan.

Atas keputusan itu, Raja Rozela tidak akan dipanggil sebagai saksi bagi prosiding menghina mahkamah ketika perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pecah amanah, lapan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan bagi pihak Raja Rozela selaku pemohon berkata, tindakan respondan menfailkan notis sapina adalah menyalahgunakan mahkamah.

Menurutnya, ia juga dilihat untuk memalukan serta menjatuhkan kredibiliti Raja Rozela selaku pegawai mahkamah.

“Pemohon bukan saksi material dalam kes berkenaan sebaliknya bertindak sebagai pembantu pendakwaan, oleh itu kami memohon agar sapina terhadapnya digugurkan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, K Balaguru yang mewakili Lokman berhujah bahawa sapina dibuat bagi mendapatkan keterangan Raja Rozela yang berhubung kejadian yang berlaku pada 30 Jun lalu.

Menurutnya, kenyataan Raja Rozela didapati berbeza dengan keterangan Lans Koperal Walter ketika membuat laporan polis.

Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman kerana menghalang tugas seorang anggota polis dan mendakwa undang-undang negara tidak adil.

Ia berlaku ketika Lans Koperal Walter menegur ahli politik itu supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika prosiding pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, jutaan ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, pada 8 Julai, Balaguru memaklumkan pihaknya akan memfailkan notis sapina kepada Raja Rozela untuk menyoal balasnya di mahkamah, namun ia dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah atas alasan sudah memadai dengan memanggil polis mahkamah itu bagi memberikan keterangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!