Dewan Rakyat luluskan dua RUU berkaitan pertanian, tentera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehari selepas negara menyambut Hari Pahlawan, Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022.

Rang Undang-undang yang mengandungi 12 Fasal itu antara lain bertujuan meminda Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) bagi meluaskan skop pelaburan Lembaga dan untuk memberi Lembaga kuasa untuk memperbadankan syarikat sebagai tambahan kepada kuasa sedia ada untuk menubuhkan perbadanan.

Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 yang dibentangkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz diluluskan selepas Ahli Parlimen 15 berbahas.

Ikmal Hisham ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, fokus utama pindaan Akta 101 itu adalah untuk memastikan caruman anggota tentera dalam LTAT terjamin, selamat dan terpelihara.

"Anggota tentera berkorban nyawa dan tenaga dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara kita pada masa yang sama, mereka juga seperti orang awam yang lain yang mahu memastikan apabila bersara kelak mereka mempunyai simpanan yang boleh menjamin kehidupan di masa depan.

"Dengan pindaan kepada akta ini, anggota tentera akan lebih bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab kerana mengetahui caruman masa depan mereka selamat dan terjamin di bawah LTAT ia memandangkan caruman mereka diuruskan oleh pengurusan LTAT yang cekap, bijaksana dan amanah," katanya.

Terdahulu, pada sesi perbahasan rang undang-undang itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu kelemahan pengurusan LTAT perlu diberi perhatian dan diperbetulkan demi memastikan kebajikan pencarum terjaga.

"Seandainya LTAT dan perbadanannya ditadbir dengan telus dan prinsip tadbir urus yang tepat, keupayaan LTAT akan lebih besar selepas ini kerana tidak lagi hanya bergantung pada caruman semata-mata,” katanya.

Dewan Rakyat pada Isnin turut meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan memberi kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menstabilkan rantaian bekalan komoditi ternakan yang memberi kesan langsung kepada keupayaan modal serta pasaran terutama pengeluar kecil dan sederhana.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah semasa membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 berkata dengan peluasan kuasa FAMA, kementerian menyasarkan pemacuan pembangunan sektor ternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

"Secara tidak langsung, turut meningkatkan sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara melalui pemerkasaan penternak kecil dan semi komersial,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!