KKM setuju pinda RUU kawal produk tembakau, kurangkan denda ke RM500

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju meminda kuantum denda bagi kesalahan dilakukan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya atau dikenali Generasi Penamat (GEG) dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada RM500 atau perintah khidmat masyarakat berbanding peruntukan asal sebanyak RM5,000.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia susulan perbincangan dan persetujuan serta kompromi secara bersama antara KKM dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen pada Isnin.

"Bagi memastikan akta yang berkuat kuasa selepas ini tidak dilihat bersifat punitif, kesalahan yang dilakukan golongan GEG hanya menetapkan denda maksimum RM500 atau khidmat masyarakat malah apa-apa kesalahan yang dilakukan golongan ini akan terlebih dahulu ditawarkan kompaun,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata, KKM juga bersetuju melakukan pindaan dalam peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk menghalang pemeriksaan badan dilakukan ke atas mana-mana individu yang belum mencapai usia 18 tahun.

Selain itu, katanya, peruntukan bagi kesalahan pemilikan apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga akan dipinda.

Khairy berkata, bagi memastikan undang-undang itu dilaksanakan dengan baik dan teratur apabila dikuatkuasakan kelak, KKM akan secara berterusan menjalankan libat urus bersama pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan kesihatan dan pemain industri termasuk dalam membuat penetapan peraturan-peraturan merangkumi produk yang akan dikawal selia di bawah akta tersebut.

Beliau berkata, setiap peruntukan di bawah rang undang-undang itu juga akan dilakukan pemantauan dan penilaian berterusan.

"Dalam hal ini pihak kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas secara pentadbiran untuk menyemak dan menilai semua peruntukan di bawah rang undang-undang ini termasuk kawalan yang melibatkan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya," katanya.

Pada pembentangan hampir 50 minit itu, Khairy menjelaskan, rang undang-undang tersebut amat penting dan tidak boleh ditangguhkan lagi dalam membendung amalan merokok di Malaysia khususnya bagi generasi muda yang bakal mengemudi pentadbiran negara, seterusnya melahirkan barisan pemimpin dan rakyat lebih sihat dan produktif.

Beliau berkata, dengan adanya rang undang-undang itu, ia akan dapat mengurangkan bebanan kos rawatan yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk merawat penyakit akibat komplikasi merokok.

Khairy berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua golongan kanak-kanak mendapat perlindungan kesihatan yang terbaik dan melindungi mereka daripada sebarang bentuk penggunaan produk berbahaya.

"Perlindungan yang diberikan kepada golongan GEG ini pula akan menjangkau usia mereka sebagai kanak-kanak bagi memastikan pelindungan sepenuhnya kepada bahan yang berbahaya ini," katanya.

Menurutnya, masalah merokok semakin terbeban dengan merokok alaf baharu termasuk rokok elektronik dan vap yang lebih menarik perhatian penggunanya.

Katanya, bermula pada 2015, rokok elektronik dan vap telah memasuki pasaran di Malaysia dan sehingga kini, jumlah pengguna rokok elektronik dan vap semakin meningkat terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Jelasnya, perkara itu menjadi kegusaran memandangkan kawalan berkaitan rokok elektronik dan vap tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di bawah undang-undang sedia ada.

"Larangan penuh penjualan rokok elektronik dan vap yang dicadangkan ke atas golongan GEG ini adalah bertujuan untuk menurunkan peratusan merokok sehingga mencapai sasaran kurang daripada lima peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia sebagaimana penetapan kepada usaha untuk mencapai sasaran Generasi Penamat bagi Merokok menjelang 2040," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!