APG 2022: Pemanah recurve alih tumpuan kepada gangsa
HARAPAN skuad memanah recurve lelaki untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2022 di Solo, tidak kesampaian selepas tewas dalam acara individu dan berpasukan dalam pusingan kalah mati.
Pemenang pingat emas Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, S Suresh yang mengungguli pusingan kelayakan dengan catatan peribadi terbaik sebanyak 635 mata semalam, mengalami kekalahan mengejut ke atas atlet tuan rumah, Setiawan 4-6 pada separuh akhir di Stadium Kota Barat pada Isnin.
Beliau akan berhadapan dengan seorang lagi peserta tuan rumah Kholidin dalam aksi playoff pingat gangsa pada Rabu.
Terdahulu, pendatang baharu Nurfaizal Hamzah mengalami kekalahan 0-6 pada suku akhir menentang Sadikin, seorang lagi pemanah Indonesia.
Sementara itu, dalam acara berpasukan lelaki, Suresh-Nurfaizal yang tunduk 2-6 kepada Kholidin-Setiawan, akan bertemu Giovanni Ola-William Cablog dari Filipina untuk bersaing merebut pingat gangsa.
"Kedua-dua pemanah telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun terpaksa akur dengan kebolehan pemanah tuan rumah. Suresh berjaya menduduki tempat pertama semalam, namun hari ini tidak dapat meneruskan momentum hingga final.
"Bagi Nurfaizal, faktor tiada pengalaman dan masih baharu melihatkan atlet ini gugup dan perlukan lebih usaha dan banyak latihan," kata jurulatih kebangsaan Marzuki Zakaria.
Aksi di lapang sasar memanah itu akan diteruskan dengan pusingan kalah mati acara compound esok, dengan pemanah lelaki G Daneshen dan Wiro Julin serta Nur Jannaton Abd Jalil dalam acara wanita menggalas cabaran negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!