Kanak-kanak lemas dalam kolam renang inap desa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang lemas di kolam renang sebuah inap desa di sini ditemui dalam keadaan tertiarap dalam kejadian pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bahtiar Yaacob berkata, kejadian hanya disedari oleh ibunya pada jam 6.30 petang yang mencari mangsa di kolam berkenaan.

Menurutnya, kira-kira jam 6 petang, bapa kanak-kanak tersebut melihat anaknya bermain bersama anak saudara yang lain sebelum masuk ke dalam kawasan inap desa bagi menyiapkan makanan.

"Ketika ibu mangsa sedang mencarinya mendapati kanak-kanak itu berada di kolam renang dewasa dalam keadaan tertiarap. Semasa kejadian terdapat beberapa orang dewasa sedang sibuk membuat persiapan makanan dan kanak-kanak yang bermain di bahagian luar.

"Namun kesemuanya tidak perasan bagaimana mangsa boleh berada di dalam kolam renang tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Omar Bahtiar, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada Isnin kira-kira jam 1.10 pagi dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian lemas.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar ditalian 05-7762222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!