Malaysia mampu capai pertumbuhan 6 peratus tahun ini
Gambar hiasan.
A
A
A
Sehubungan itu, bank pelaburan tersebut mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 6.0 peratus tahun ini, hampir dua kali ganda daripada 3.1 peratus yang dicatat pada tahun lepas.
Dalam nota tinjauannya hari ini, bank pelaburan itu turut menyifatkan momentum pertumbuhan yang menggalakkan dalam ekonomi domestik dipercayai akan berterusan sehingga ke separuh kedua 2022.
Ia berkata indeks pelopor (IP) yang memberi isyarat momentum pertumbuhan berterusan, kembali pulih ke paras pertumbuhan positif bagi Mei lepas pada 2.2 peratus tahun ke tahun selepas mengalami penguncupan selama tiga bulan, disokong oleh import benar lebih tinggi bagi logam asas dan bukan ferus lain berikutan langkah perniagaan membeli lebih banyak barangan perantaraan sebagai jangkaan peningkatan prospek perniagaan serta permintaan.
Menurutnya, aktiviti ekonomi semasa juga terus meningkat apabila Indeks Kebetulan naik ketara pada 6.4 peratus tahun ke tahun -- pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 12 bulan yang didorong terutamanya oleh pengukuhan kegiatan runcit.
Bank pelaburan itu berkata, Malaysia turut merekodkan prestasi perdagangan luar yang lebih kukuh daripada dijangkakan pada Jun dengan pertumbuhan eksport meningkat 38.6 peratus, dipacu oleh pertambahan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, minyak sawit dan gas asli cecair.
"Ini disokong oleh unjuran pertumbuhan perbelanjaan domestik, dipacu oleh pemulihan berterusan dalam pasaran kerja, peningkatan mobiliti rakyat dan pertambahan jumlah pelancong susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.
Malah, data terkini menunjukkan aktiviti perbelanjaan domestik tumbuh lebih ketara dan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa tersebut biarpun dalam persekitaran inflasi yang meningkat.
Menurut bank itu, secara keseluruhannya, tekanan harga di Malaysia juga kekal stabil yang didorong oleh kekangan harga bahan api.
"Bagi kemajuan masa depan, kami menjangkakan sektor penggunaan dan perkhidmatan swasta menyumbang kepada pengukuhan pertumbuhan suku kedua dan separuh kedua 2022 di tengah-tengah permintaan domestik yang mantap,” katanya.
MIDF berkata, bagi suku kedua, purata pertumbuhan tiga bulan untuk jualan dagangan beragihan adalah kukuh pada 15 peratus tahun ke tahun.
"Bagaimanapun, kami berpendapat masih terdapat risiko penurunan bagi unjuran pertumbuhan yang disumbangkan terutamanya oleh faktor luaran seperti pertumbuhan kurang memberangsangkan di China, konlik ketenteraan yang berterusan di Ukraine, perubahan harga komoditi global dan ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!