SMKA terbakar: Negeri Sembilan salur peruntukan kerja pembersihan
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerja pembersihan akan dilakukan selepas pihak sekolah menerima laporan penuh kejadian daripada bomba.
"Pihak sekolah memohon kerajaan negeri membantu kerja pembersihan kerana bangunan sebelah (blok terbakar) itu perlu digunakan. Kerja membaik pulih bangunan terbakar itu perlu disegerakan kerana pelajar perlukan kemudahan asrama," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan di Pedas dekat sini pada Isnin.
Aminuddin berkata, 90 pelajar yang terkesan akibat kejadian itu turut menerima RM300 seorang berikutan barangan harian seperti uniform sekolah hangus terbakar.
Dalam pada itu, beliau berkata, bangunan sekolah berusia lebih 10 tahun seharusnya dipantau lebih kerap oleh pihak berwajib supaya pelajar dan guru dapat menjalani sesi pembelajaran lebih kondusif dan selamat.
Media sebelum ini melaporkan bangunan asrama di tingkat tiga yang mempunyai kira-kira 10 bilik tersebut terbakar 80 peratus pada tengah hari semalam namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Susulan itu, lebih 600 pelajar akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat masa ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi Facebook semalam turut memaklumkan kementeriannya telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri supaya segera mengambil tindakan susulan berikutan kejadian tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!