Pemimpin perlu bersuara ajak rakyat perangi rasuah
SHAH ALAM - Kegagalan pemimpin-pemimpin negara dalam menyuarakan keburukan gejala rasuah merupakan antara faktor yang menyebabkan perbuatan itu terus berleluasa.
Setiausaha Agung Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Ab Rahman Mohd Ali berkata, gejala rasuah semakin menjadi-jadi dan menimbulkan kebimbangan kepada rakyat.
“Jarang kita dengar pemimpin-pemimpin tertinggi kita menasihati rakyat akan kesan buruk daripada perbuatan rasuah ini.
“Wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan bagi pembangunan ekonomi dan modal insan di negara ini tidak dapat digunakan secara 100 peratus.
“Ketirisan ini merugikan semua rakyat Malaysia dan menghampakan pembayar cukai yang berharap dengan pembayaran tersebut dapat membantu kerajaan membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, kata Ab Rahman, kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pelaku rasuah, majoritinya melibatkan orang Melayu beragama Islam.
“Apa yang berlaku sebenarnya, penerima rasuah ini terlupa rasuah itu haram di sisi agama dan mereka akan dipersoal di hadapan ALLAH SWT di akhirat nanti, kerana antara perkara utama yang akan ditanya di akhirat nanti adalah punca rezeki kita.
"Kealpaan mereka sehingga terjebak memakan rasuah adalah disebabkan oleh ingin menjadi kaya dengan mudah di dunia ini dan hidup bergaya sehingga mengetepikan hukum-hakam agama,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!