Fajim Juffa pernah terselamat nahas pesawat
IPOH - Juruterbang yang maut dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini pada Isnin dilaporkan pernah terselamat ketika menerbangkan MiG-29 pada 2004 lalu.
Fajim Juffa Mustafa Kamal dilaporkan hilang beberapa hari akibat tersangkut di atas pokok selepas kerusinya berjaya melenting keluar sebelum pesawat terhempas di ladang kelapa sawit Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu.
Ibu saudaranya yang enggan dikenali berkata, Fajim Juffa tidak pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerana terlalu meminati bidang penerbangan.
"Arwah pernah terlibat dalam nahas pesawat sebelum ini tetapi itu memang minat dia. Dia suka bidang penerbangan ini sehinggalah sekarang.
"Ayahnya juga turut terkorban dalam nahas Nuri di Sungai Lundu, Sarawak Disember 1989," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Bapa kepada tiga anak itu pernah bertugas di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum bersara dan menjadi jurulatih penerbangan untuk sektor swasta pada 2018.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik dengan kehadiran isteri dan tiga anak mangsa dari Semenyih, Selangor. Bedah siasat dijangka akan dimulakan pada jam 10 pagi pada Selasa.
Sementara itu, ketua jurulatih penerbangan, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang terselamat dalam nahas itu sedang menerima rawatan di HRPB akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Sinar Harian melaporkan Fajim Juffa, 52, disahkan maut selepas pesawat ringan Piper 28 yang berlepas dari Bats Aviation Sdn Bhd (BATS) terhempas berhampiran Medan Gopeng di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!