Kekebalan penjaga gol PJ City punca TFC gagal lakar kemenangan

Penjaga gol PJ City FC Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (kiri) berjaya menggagalkan percubaan gol pemain TFC, Manuel Gelito Ott (kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi. - Foto Bernama
Penjaga gol PJ City FC Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (kiri) berjaya menggagalkan percubaan gol pemain TFC, Manuel Gelito Ott (kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui 'kekebalan' penjaga gol lawan, Kalamullah Al- Hafiz Mat Rowi antara punca utama pasukannya gagal mencatat kemenangan ke atas skuad The Phoenix malam tadi.

Menurut Nafuzi, anak buahnya telah memperagakan persembahan terbaik dengan menguasai kedua-dua babak perlawanan, namun ketangkasan penjaga gol berketinggian 1.8 meter itu berjaya menggagalkan peluang TFC untuk mencipta sebarang gol dalam aksi Liga Super yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

"Kecemerlangan penjaga gol antara faktor utama kami tak dapat jaringan, banyak percubaan dapat diselamatkan.

"Selain itu pertahanan PJ City FC juga berfungsi dengan baik, jadi kami kena tengok balik dan perbaiki apa saja kelemahan selepas ini," katanya selepas perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, pengendali PJ City FC, P Maniam mengakui tetap berpuas hati walaupun hanya berjaya membawa pulang satu mata daripada tempat lawan.

Beliau berkata, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan komitmen tinggi serta persefahaman yang baik ketika bertahan.

"Keputusan seri di tempat lawan malam ini memberi kami lebih semangat untuk menghadapi pertembungan selepas ini dengan Sri Pahang," katanya.

Dalam pada itu, Maniam berkata, beliau tidak berasa panik walaupun pasukannya berada di kedudukan kedua tercorot liga.

Sebaliknya beliau yakin mampu merealisasikan sasaran untuk berada di kelompok lima terbaik sebelum Liga Super melabuhkan tirainya musim ini.

"Tahun lepas kami berjaya cipta keajaiban dengan mengakhiri liga di tempat ketujuh dengan menggunakan 100 peratus pemain tempatan.

"Sekarang ini pun beza kutipan mata antara satu-satu pasukan tidak jauh. Kami boleh kejar mata dan kena mula dengan cipta kemenangan pada pusingan kedua," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!