Calon Bebas umum manifesto tayang video

Malar melancarkan manifestonya.
Malar melancarkan manifestonya.
A
A
A

SEREMBAN – Jika calon PH dan BN PRK DUN Rantau sibuk berkempen dari rumah ke rumah dan memberi ceramah, tetapi tidak calon Bebas, R Malar.

Beliau sebaliknya memilih melancarkan manifestonya dengan menggunakan pendekatan berbeza iaitu menerusi tayangan video.

Meskipun serba kekurangan dengan hanya ditemani meja dan komputer riba, namun beliau seperti biasa cukup yakin dan bersemangat.

Jumlah kehadiran para media lebih ramai dari pengundi, namun majlis tetap diteruskan.

Turut hadir menyaksikan pelancaran manifesto suri rumah itu adalah calon Bebas PRK Semenyih, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.

Antara yang diketengahkan Malar adalah konsep kitar semula, baik pulih jalan raya, dan membaik pulih sistem pengangkutan yang lebih efisien dan masalah banjir.

Malar turut memperkenalkan pasukannya yang terdiri daripada dua orang sambil berharap bermula malam ini keadaan akan berubah.

"Walaupun saya lancarkan manifesto dari pekan Rantau ini tak bermakna saya tak pedulikan kawasan lain.

Artikel Berkaitan:

"Anda di seluruh pelusuk N27, luar negeri atau negara dan yang sedang tengok saya di Internet bahawa saya sedang junjung anda di dalam hati saya,"katanya.

Menurutnya, sebagai calon Bebas, beliau hanya mampu menggunakan setakat kemampuan yang ada dan sebab itu bantuan diperlukan.

"Sebab itu saya bagi kad bisnes dan catatan saya nak sumbangan," katanya.

Malar antara dua calon bebas yang bertanding di PRK DUN Rantau selain Mohd Nor Yassin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!