Bayi maut, tujuh cedera kenderaan terbabas dalam parit

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terbabas.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terbabas.
A
A
A

TANGKAK - Seorang bayi maut manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak dan warga emas cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terbalik dalam parit di Kilometer 161.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, pada malam Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zait Iskandar Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada jam 8.19 malam.

Beliau berkata, susulan itu seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Perodua Alza terbabas ke bahu jalan. Terdapat lapan mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut.

"Seorang bayi perempuan berusia lima bulan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, selain itu seorang wanita dewasa, seorang wanita warga emas, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera.

Keadaan Alza yang terbalik dalam nahas yang mengakibatkan seorang bayi lima bulan maut.
Keadaan Alza yang terbalik dalam nahas yang mengakibatkan seorang bayi lima bulan maut.

Jelasnya, dalam kemalangan tersebut semua mangsa tidak tersepit dan pihak bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Menurutnya, empat daripada mangsa dihantar ke hospital menaiki EMRS manakala tiga lagi mangsa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!