Pas-UMNO perlu perjuangkan isu rakyat secara menyeluruh

Dr. Mazlan Ali. -Foto Sinar Harian Rosli Talib
Dr. Mazlan Ali. -Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pas-UMNO diingatkan supaya tidak hanya memainkan isu agama dan kaum semata-mata, sebaliknya turut fokus kepada isu-isu rakyat secara menyeluruh.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, untuk jangka masa panjang kerjasama politik itu tidak memberi keuntungan apabila mereka hanya mendominasikan orang Melayu dan Islam.

Menurutnya, kerjasama itu perlu fokus kepada isu-isu rakyat semua kaum dan perjuangkan isu tadbir urus kerajaan memandangkan kerajaan hari ini dilabel sebagai kerajaan yang menabur janji.

"Sebagai kerajaan yang memperjuangkan ketelusan itu jugalah, UMNO-Pas perlu minta mereka buktikan.

“Sekiranya Pas dan UMNO fokus kepada isu-isu seperti ini rakyat secara keseluruhannya akan melihatnya sebagai satu gabungan baharu yang memayungi semua bangsa dan agama,” katanya.

Mazlan berkata, beliau sebenarnya teruja dengan Pas-UMNO yang mahu memastikan PH menjadi kerajaan yang bertanggungjawab.

Jelasnya, perbezaan antara gabungan Pas-UMNO hari ini tidak seperti parti-parti pembangkang era sebelum PRU yang lalu.

“Untuk jangka masa pendek gabungan ini adalah gabungan dua parti yang tertua dan terbaik kerana UMNO pernah menjadi kerajaan selama 61 tahun dan Pas menjadi pembangkang sejak ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

“Ahli-ahli BN dan UMNO pula bukan calang-calang. Sebahagiannya adalah bekas menteri yang sememangnya boleh menjatuhkan kerajaan berdasarkan prestasi kerajaan itu sendiri manakala kepakaran yang terdapat pada Pas adalah kekuatan jenteranya,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan PH pula, Mazlan berpendapat, kerajaan hari ini masih mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan gabungan Pas-UMNO sekiranya kerajaan menunaikan janji-janji yang diperjuangkan dalam manifesto PRU yang lalu, pengundi masih lagi bersama mereka.

Katanya, PH mempunyai kelebihan menguasai pengundi bukan Melayu dalam kalangan parti termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Pada masa sama, PH menguasai Melayu dalam kalangan pengundi muda yang menjadi penentu kepada keputusan PRU," katanya.Pas beri nafas baharu untuk UMNO

Mazlan berkata, gabungan pembangkang bukan setakat untuk fokus pada PRU pada masa akan datang tetapi menjadi pembangkang yang produktif memastikan kerajaan yang memerintah menunaikan janji dan menjalankan dasar-dasar yang berkesan untuk rakyat.

Katanya, gabungan UMNO dan Pas itu dilihat walaupun secara asasnya nampak 'malu-malu' sebelum PRU tetapi gabungan itu akhirnya menjadi serius dan begitu akrab.

"Saya melihat selepas kekalahan BN, UMNO bertimpa-timpa menerima tekanan dan masalah dalaman dengan kekalahan presiden dan timbalan presiden termasuk pelbagai kes berlaku.

"UMNO melihat Pas sebagai parti politik yang memberi nafas dan impak kepada UMNO," katanya.

Dalam tempoh hampir setahun pemerintahan PH, Mazlan menilai gabungan Pas-UMNO berjaya merealisasikan pengundi-pengundi dan momentum itu meningkat.

"Gabungan segera parti ini memberi kelebihan kepada pembangkang dan kita lihat nampaknya kerajaan PH hari ini goyang.

"Bermula PRK di Cameron Highlands dengan kadar penyertaan pengundi sangat tinggi terutama pengundi Melayu dan momentum itu dibawa ke Rantau.

"Saya percaya ramai penganalisis yakin bahawa BN mempunyai harapan cerah pada PRK di Rantau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!