Penunggang motosikal khayal ditahan polis

Laporan Sinar Harian berkenaan suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal dicari polis baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian berkenaan suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal dicari polis baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal dipercayai menghidu gam di Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) arah selatan seperti video yang tular di media sosial Facebook bulan lalu berjaya ditahan polis di Port Dickson pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek berusia 28 tahun itu berjaya dikesan pada jam 11 pagi hasil daripada risikan berterusan yang dilakukan.

"Suspek telah ditahan di premis pusat cuci kereta Stesen Minyak Caltex di Jalan Dato' Haji Abdul Samad, Port Dickson dan kemudian dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku menunggang motosikal dalam keadaan khayal dan sedang menghidu gam ketika kejadian," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Nanda berkata, suspek telah dikenakan tindakan di bawah Kaedah 4 PU(A) 043/73 Kaedah Lalulintas iaitu kesalahan tidak memakai topi keledar dan Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak memperagakan nombor pendaftaran.

"Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu dan disiasat bagi lain-lain kesalahan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal dipercayai dalam keadaan khayal di Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan susulan tular video berkenaan di Facebook.

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, lelaki terbabit menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam.