AUG 2022: Malaysia capai sasaran 35 pingat emas
EMAS ke-35 Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang ditunggu-tunggu kontinjen Malaysia akhirnya hadir menerusi acara taekwondo selepas atletnya, Nur Hidayah Abdul Karim berjaya mengungguli acara poomsae individu wanita.
Lebih manis lagi, pingat dimenangi Hidayah itu merupakan emas pertama buat skuad taekwondo negara sepanjang beraksi di temasya AUG.
Pada aksi yang berlangsung di kampus Ban Yang Noi, Universiti Ubon Ratchathani, Nurul Hidayah Abdul Karim dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 8.383 mata mengatasi atlet Thailand, Thunsinee Mookda (8.350 mata) di tempat kedua.
Gangsa bagi acara tersebut dimenangi atlet Indonesia, Ruhil Masri selepas mengumpul 8.049 mata.
“Saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan pingat emas ini pada penampilan pertama saya di pentas AUG. Malah ia juga merupakan pingat emas pertama negara di temasya AUG.
“Sebenarnya saya tak sangka boleh dapatkan emas dalam acara poomsae individu ini kerana selalunya turun dalam acara campuran.
“Walaupun ada sedikit kecederaan ketika beraksi tadi, saya cuba untuk memberi aksi yang terbaik pada perlawanan ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Nur Hidayah selepas ini akan turun pada sesi sebelah petang bergandingan bersama Jason Loo Jun Wei bagi merebut pingat emas dalam acara poomsae campuran.
Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menambah satu lagi pingat emas tidak kesampaian selepas Jason Loo menamatkan saingan di tempat kedua dengan kutipan 8.116 mata di belakang atlet tuan rumah, Worapol Sianglio 8.233.
Gangsa acara tersebut dimenangi atlet Vietnam, Pham Quoc Viet yang menamatkan saingan selepas mengumpul 8.016 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!