Perkeso Kelantan lunas bayaran FHUS RM4.06 juta setakat Jun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
PASIR MAS - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan telah membuat pembayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berjumlah RM4.06 juta bagi tempoh Jan hingga Jun lepas, kata Timbalan Pengarahnya, Wan Izani Wan Isa.

Beliau berkata, pembayaran itu memberi manfaat kepada 6,311 pencarum di seluruh negeri, termasuk yang kehilangan pendapatan.

"Setakat ini kami telah mengendalikan 6,311 kes menerusi tuntutan FHUS membabitkan pencarum terlibat dengan kes kemalangan sama ada semasa bekerja, pergi dan pulang daripada tempat kerja dan kejadian yang berpunca daripada pekerjaannya.

"Menerusi pembayaran faedah ini, pencarum dibayar sebanyak 80 peratus daripada purata harian gajinya selama tempoh mereka mendapat cuti sakit disebabkan kemalangan yang menyebabkan pencarum hilang upaya sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyerahkan pembayaran FHUS bernilai RM5,520 kepada pekerja restoran makanan segera Harish Zull Haiqal Zulkifli, 21, di Kampung Pauh pada Selasa yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saiful Adli Abu Bakar.

Dalam pada itu, Wan Izani berkata, kebanyakan masyarakat terutamanya orang yang bekerja dan majikan masih kurang cakna mengenai kelebihan mencarum dengan Perkeso, namun dengan adanya hebahan dan libat urus yang diadakan oleh pihaknya, kesedaran itu semakin meningkat.

"Malah dengan adanya pembayaran menerusi faedah ini ia menunjukkan betapa pentingnya caruman Perkeso memandangkan ia dapat meringankan beban pencarum serta ahli keluarga mereka jika berdepan dengan musibah atau kemalangan ketika bekerja,” katanya.

Sementara itu, Harish Zull Haiqal yang terlibat dalam kemalangan Februari lalu sehingga mengakibatkan kaki kanannya dipotong berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh manfaat daripada Perkeso hasil caruman yang dilakukan oleh majikannya.

"Menerusi caruman ini, saya bukan sahaja menerima pembayaran faedah selama saya tidak dapat bekerja, bahkan saya juga dapat menjalani proses rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka di bawah program Return To Work.

"Proses rehabilitasi ini akan dilakukan dalam tempoh satu hingga dua bulan berdasarkan pemulihan saya, selain saya juga akan dibekalkan kaki palsu secara percuma oleh Perkeso sebelum dapat meneruskan kerja seperti sedia kala dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!