Nurul Hidayah lengkapkan sasaran emas AUG 2022
Dalam aksi di Kampus Ban Yang Noi, wirawati itu mengungguli acara poomsae individu wanita selepas mengutip 8.383 mata dan menewaskan peserta tuan rumah, Thunsinee Mookda yang mengumpul 8.350 mata manakala atlet Indonesia, Ruhil Masri meraih tempat ketiga dengan 8.049 mata.
"Saya bersyukur dapat pingat ini kerana ia merupakan kali pertama emas diraih taekwondo pada temasya AUG.
"Sedikit gementar berikutan saya merupakan atlet pertama yang membuat persembahan sebentar tadi," katanya kepada pemberita.
Kejayaan Nurul Hidayah itu memberi khabar gembira buat kontinjen negara selepas tersangkut di emas ke-34 disumbangkan sukan memanah Ahad lepas.
"Saya sendiri tidak tahu ini merupakan emas ke-35, jadi saya tak fikir sangat hanya fokus sahaja di atas gelanggang tadi," katanya.
Sementara itu, Malaysia meraih perak menerusi Jason Loo Jun Wei dalam poomsae individu lelaki.
Pemenang pingat perak Sukan SEA Vietnam 2021 itu mencatatkan 8.116 mata sekali gus gagal menyaingi peserta tuan rumah Worapol Sianglio yang muncul juara dengan 8.233 mata. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!