Lapan lelaki terlibat pergaduhan di Kuala Ibai didakwa
Tertuduh, Lee Soon Li, 24; Muhammad Adam Mikhail, 27; S Peter Gumbang, 25; Harith Iskandar Rosdi, 26; dan Sia Wei Jun, 23, mengaku bersalah manakala tiga lagi yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan pula ialah Nurul Shahrizal Mohd, 41; Mohd Kazman Ishak, 36 dan Mohd Saddam Ishak, 31.
Kesemua tertuduh didakwa secara bersama melakukan gaduh gempar di hadapan sebuah restoran di Kuala Ibai pada jam 8.15 malam, 28 Julai lepas .
Mereka didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dibacakan kepada semua mereka di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Majistret membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,800 seorang dan menetapkan tarikh 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asistan Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.
Sebelum ini tular di media sosial satu klip video berdurasi 23 saat yang memaparkan pergaduhan di restoran berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!